SEJARAH PRAUNIVERSITI SMK SERI AMAN
Pengajian Tingkatan Enam SMK Seri Aman telah ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mei 2005 iaitu serentak dengan tarikh penubuhan sekolah. Sebanyak tiga buah kelas telah dibuka kepada pelajar-pelajar yang layak iaitu dari sekolah saluran SMK Kamil dan SMK Padang Pak Amat. Namun begitu dari semasa ke semasa, sekolah akan menerima kemasukan setiap pelajar yang ditawarkan pengajian tingkatan enam ke sekolah ini oleh Jabatan Pelajaran Kelantan. Mulai tahun 2007, pelajar-pelajar lepasan SPM dari SMK Seri Aman juga disalurkan ke program Pengajian Tingkatan Enam di sekolah yang sama.
Pembelajaran Tingkatan Enam begitu istimewa kerana ia menyediakan pakej selama setahun setengah kepada para pelajar untuk melangkah ke peringkat Ijazah Pertama di mana-mana universiti yang diiktiraf oleh Kerajaan. Tingkatan Enam adalah setaraf dengan pengajian di Peringkat Diploma serta Matrikulasi dan menggunakan merit yang sama iaitu Purata Nilai Gred Mata Pelajaran atau sistem point yang diiktiraf oleh Lembaga Akreditasi Negara.
Calon-calon Tingkatan Enam akan menghadapi Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. MPM ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980. Penilaian sistem terminal akan diganti sepenuhnya kepada sistem Modular mulai tahun 2011. Mulai tahun 2010 program pengajian Tingkatan Enam SMK Seri Aman akan mula dikenali dengan nama Pengajian Pra Universiti (PPU).
Calon-calon perintis bagi STPM SMK Seri Aman ialah pada tahun 2006. Kini pada tahun 2016 merupakan kumpulan kesebelas calon-calon STPM bagi sekolah ini yang terdiri daripada calon-calon saluran SMK Kamil, SMK Padang Pak Amat, dan SMK Seri Aman sendiri. SMK Seri Aman telah menempa kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM. Selama dua tahun berturut-turut (2007 & 2008), sekolah telah mencapai kelulusan 100% dan terdapat pelajar yang memperoleh 5 prinsipal A & 4 prinsipal A. Pada tahun 2008, SMK Seri Aman menduduki raking ke-5 terbaik STPM Negeri Kelantan dan seorang pelajar iaitu Mohamad Azman b. Mat Jusoh (PNGK 4.00), muncul dalam kalangan empat pelajar terbaik negeri.
SMK Seri Aman terus menempa sejarah gemilang apabila Nurul Imani Zakaria memperoleh 5 prinsipal A dengan PNKG 4.00 telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2009 bagi kategori Luar Bandar. Kecemerlangan SMK Seri Aman berterusan dari tahun ke tahun dan pada STPM 2011, kecemerlangan diteruskan dengan Tuan Mohd Azuan Tuan Yusoff memperolehi 5 prinsipal A dengan PNGK 4.00.
Pada tahun 2014, SMK Seri Aman terus mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan STPM apabila dua pelajar mendapat keputusan PNGK 4.00 dengan Noorul Khaleeda Zahari memperolehi 5 prinsipal A dan Nik Nur Fatihah Wahida Mah Hassan memperolehi 4 prinsipal A dan 1 prinsipal B. Kecemerlangan STPM 2015 diteruskan lagi oleh Zulaikha Abd Rashid yang memperolehi 6 prinsipal A dengan PNGK 4.00. Semoga pada tahun-tahun mendatang SMK Seri Aman terus memacu kecemerlangan sama ada dalam bidang akademik mahupun ko akademik dengan motto :
"KE ARAH MELESTARIKAN KECEMERLANGAN STPM"
No comments:
Post a Comment